Tuhan sentiasa membuka pintu taubat untuk insan yang bersalah berubah kepada yang lebih baik. Bila-bila masa sahaja taubat itu terbuka apabila timbulnya keinsafan dan kesedaran. Mungkin kesedaran dan keinsafan itu timbul hasil daripada nasihat, atau kejadian dan peristiwa tertentu. Kadang- kala insan yang begitu jahat, berubah menjadi insaf disebabkan ketakutan atau penderitaan tertentu, atau peristiwa trajis yang meleburkan keegoannya. Tidaklah penting apa pun sebab keinsafan itu lahir. Apa yang penting bagaimanakah keinsafan itu dihayati. Maka insan yang insaf disuruh bertaubat dengan taubat yang sebenar atau disebut sebagai taubat nasuha. Allah menyebut dalam Surah at-Tahrim ayat 8: (maksudnya): Wahai orang-orang yang beriman! bertaubatlah kamu kepada Allah dengan ‘taubat nasuha, Mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai.
Saya ingin katakan bahawa peristiwa pilihan raya yang lepas, perkara pertama yang mesti dilakukan oleh pihak pemerintah bagi mengeluarkan diri dari semua krisis dan kegawatan politik yang saban hari mengganggu kita adalah dengan cara bertaubat kepada Allah dengan taubat nasuha. Segala kesalahan, ketidakadilan, ketidaktelusan, kecuaian atas tanggungjawab yang Allah amanahkan selama ini hendaklah benar-benar insaf dan memohon ampun daripada Allah. Kedua; hendaklah berazam untuk tidak mengulanginya lagi pada masa hadapan. Ketiga: jika ada hak rakyat yang dizalimi, kembalikan hak mereka. Jika ini dilakukan, percayalah kepada rahmat Allah yang akan melimpahi negara dan kepimpinan akan terus dapat keberkatan dalam pemerintahan yang akan diteruskan. Dengarlah kata-kata Nabi Hud a.s kepada kaumnya seperti dalam Surah Hud ayat 52: (maksudnya) “Dan wahai kaumku! mintalah ampun kepada Tuhan kamu, kemudian kembalilah taat kepada- Nya, supaya ia menghantarkan kepada kamu hujan lebat serta menambahkan kamu kekuatan di samping kekuatan kamu yang sedia ada; dan janganlah kamu membelakangkan seruanku dengan terus melakukan dosa.” Inilah penawar bala yang telah dibuka rahsianya oleh Nabi Hud a.s., dan inilah juga yang pernah disebut oleh Nabi Nuh a.s. sebelum itu kepada kaumnya. Kata Nabi Nuh seperti dalam Surah Nuh ayat 10-12: (maksudnya) “Sehingga Aku berkata (kepada mereka): ‘Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, Sesungguhnya Dia Maha Pengampun. (Sekiranya kamu berbuat demikian), Dia akan menghantarkan hujan lebat mencurah- curah, kepada kamu. Dan Dia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan ia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai- sungai (yang mengalir di dalamnya).” Ayat- ayat ini menjelaskan bahawa memohon ampun daripada Allah membolehkan rahmat dan keberkatan diturunkan. Allah menambahkan dengan taubat rezeki yang mencurah-curah, kekuatan, harta dan anak-pinak. Maka bertaubatlah wahai para pemerintah, agar kedamaian, ketenteraman dan kemakmuran akan dikecapi di bawah pemerintahan anda.
Perubahan yang berteraskan taubat kepada Allah perlu dilakukan. Kepimpinan utama mestilah tegas dan ikhlas. Insan-insan yang telah terlibat dengan penyelewengan harta rakyat hendaklah dipupuskan. Mereka perlu disiasat secara telus. Bagaimana mungkin kepentingan negara yang diamanahkan untuk dijalankan, lalu dijadikan sumber kekayaan diri yang luar biasa. Janganlah dihitung sebesar mana pun kedudukannya, atau serapat mana pun persahabatan dengannya. Hak rakyat mestilah dipelihara. Tergamakkah seorang insan yang mengaku beriman memenuhi diri dengan kemewahan harta rakyat, sedangkan berapa ramai rakyat yang masih miskin dan susah, hidup dibanjiri air mata. Bertaubatlah, kembalikan hak-hak rakyat, belalah mereka yang teraniaya. Jika orang kaya yang dizalimi, ada peguam yang dapat membawa kesnya ke mahkamah. Si miskin yang susah apabila ditindas, tiada peguam yang mampu dibayar, maka tidak ada mahkamah yang sudi mendengar. Namun esakan dan tangisan itu tetap didengari oleh Allah Yang Maha Mendengar. Rintihan itu sampai ke langit tinggi dan Allah akan membalasnya. Wahai pemimpin! Jika engkau tidak adil, engkau akan didakwa di mahkamah Allah di Padang Mahsyar kelak. Juga, jika dosa orang kena zalim itu mustajab di dunia, engkau akan dibalas di dunia dan akhirat. Wahai pemimpin! Bertaubatlah.
Para pemimpin adalah contoh untuk sekelian rakyat di bawah mereka. Mereka diperhatikan. Kemewahan mereka – jika tidak betul cara – menjadi tanda tanya. Sikap dan perwatakan mereka dipersoalkan. Demikian jugalah anak isteri mereka. Gaya yang berlebih-lebihan membuat rakyat merasa jelak. Sebabnya, ramai seketika dulu merasakan mereka manusia kebal yang tidak mungkin ditumbangkan. Mereka lupa bahawa rakyat sedang merasa mual. Jika pemimpin itu bercakap Islam, buktikanlah menerusi percakapan, pendekatan, sikap dan juga pakaian anak isteri. Jangan berlebih-lebihan, tetapi bersederhanalah dan ikut peraturan. Rakyat tidak bertanya, berapa harga make-up datin? Tetapi rakyat akan selalu mengingati kehalusan akhlak dan budi. Allah pula suka kepada yang merendah diri dan menyayangi sesama Muslim. Manusia ini bagaimanapun wataknya, hati nuraninya akan terasa hormat kepada orang yang mengingati Allah dalam erti kata yang sebenar. Diterjemahkan ingatan itu dalam bentuk tawaduk dan ketertiban sikap. Wahai pemimpin! Lakukanlah perubahan kerana Allah dalam hal ini. Nanti rakyat akan menyayangi anda.
Hala tuju negara hendaklah digaris dengan jelas. Saya kadangkala melihat seakan generasi muda Melayu Islam di negara ini dicandukan agar tidak lagi mampu berfikir dengan seimbang. Hiburan-hiburan yang melebihi dari tahap keperluan dan tidak memiliki matlamat yang jelas seakan sengaja dilambakkan untuk hidangan mereka. Inilah yang kelihatan dalam media kita sedangkan ketika yang sama gendang ‘Islam Hadhari’ dipalukan. Sebagai tanda restu atau sebaliknya, saya tidak pasti. Lalu anak muda kita dalam khayal dan mabuk dengan dadah, keruntuhan akhlak dan berbagai-bagai. Maka tidak hairanlah jika mereka tidak mempunyai pandangan yang jelas dan terurus tentang masa depan negara. Lalu kita bising hilangnya nilai-nilai patriotik dalam jiwa generasi baru, padahal kita sendiri yang seakan memandulkan minda dan fitrah mereka. Barangkali kita suka, kerana dengan demikian, mereka tidak banyak mempersoalkan kita. Mendidik rakyat adalah tanggungjawab pemimpin yang Allah amanahkan. Bertaubatlah kepada Allah, betulkan perjalanan masa depan negara ini.
Banyak perkara yang patut saya komen tentang Islam Hadhari. Sejak dahulu saya selalu mengelakkan daripada menyebut jenama yang mengundang ‘seribu kekeliruan itu’. Saya akan menulis tajuk khas mengenainya, insya-Allah. Apa yang penting banyak perkara perlu dibetulkan. Bertaubat! Kembalilah kepada Islam yang murni lagi asal seperti zaman Nabi s.a.w. Islam yang terbukti membangunkan kehidupan masyarakat yang aman lagi harmoni dunia dan akhirat. Tokok tambah agama hanya menghilangkan keaslian dan keberkatan dari Allah.
Wahai pemimpin! Pena saya tidak menzalimi anda. Sudah setahun, saban minggu ayat-ayatnya berbaris di sini. Bukan untuk menjatuhkan, tetapi mengajak melihat bersama laluan di hadapan. Allah yang memberi kuasa kepada sesiapa yang Dia kehendaki, dan mencabutnya dari sesiapa yang Dia kehendaki. Sesungguhnya taubat adalah penghalang bala bencana. Firman Allah: “Dan Allah tidak akan menyeksa mereka sedangkan mereka beristighfar (meminta ampun).” (Surah al-Anfal: 33).
Maka, jadikanlah kerajaan yang sedang merubah dirinya itu sebagai kerajaan yang bertaubat daripada segala bentuk ketidakadilan dan ketidaktelusan. Seperti mana insan yang bertaubat, kelihatan bersih bercahaya dan merendah diri kepada Allah, demikian hendaknya kerajaan yang bertaubat. Terjemahkanlah taubat itu dalam kepimpinan, pengurusan, media dan hati budi pemimpin. Pohonlah kemaafan kepada rakyat, dan kembalikan hak mereka jika ada yang ‘tidak kena’. Demikianlah juga hendaknya sekalian rakyat memohon keampunan dan kembali kepada jalan yang lurus. Inilah jalan keluar yang hakiki daripada kemelut yang ada. Jika itu berlaku maka, Allah berfirman: (maksudnya) “Dan sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertakwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka segala keberkatan dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (Rasul kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan”. (Surah al-‘A’raf: 96).