Rabu, April 16, 2008

PENGURUSAN ISLAM UTAMAKAN KEADILAN


PENERIMAAN konsep pengurusan Islami masih tidak meluas. Ramai pengurus dan pentadbir Malaysia melihat pengurusan di Malaysia hanya dapat dilaksanakan dengan berkesan menggunakan model pengurusan Barat, terutama yang dipelajari serta ditiru dari Amerika Syarikat dan England. Sifat fanatik ini menimbulkan sikap memandang rendah kepada konsep tradisi dalam teori dan amalan pengurusan. Fanatik kepada sistem pengurusan moden juga antara lain membuatkan Islam tidak dilihat sebagai model pengurusan, di samping menimbulkan reaksi pengurusan berkonsepkan Islam hanya ada dalam sejarah dan tidak dipraktikkan dalam kehidupan moden walaupun dalam negara yang majoriti penduduknya Islam.


Keengganan menerima pengurusan Islam juga disebabkan adanya pandangan bahawa agama Islam dikaitkan dengan kemunduran, kemiskinan, penindasan, keganasan, tiada keadilan, kekejaman dan kejahatan. Islam tidak dikaitkan langsung dengan kebaikan. Di negara ini, hanya segelintir pengurus mengamalkan konsep pengurusan Islam. Pengurus di Malaysia dibahagikan kepada beberapa kelompok. Kelompok pertama ialah yang dipanggil golongan sekular kolonial-pragmatik. Antara ciri kelompok ini ialah fanatik kepada birokrasi, protokol dan formaliti, berpandangan hidup sekular; terpisah daripada tradisi Islam dan bangsa sendiri dengan sikap agak anti-Islam; dan bahasa Inggeris itulah yang menjadi media utama mereka.

Golongan kedua, yang timbul selepas merdeka dan agak rapat dengan tokoh politik ialah golongan birokratik-nasionalis. Sifat perkauman agak kuat dan ketara, dan mereka selalunya mendapat dorongan atau sokongan tokoh politik Melayu. Mereka sering mengutamakan kepentingan Melayu. Golongan kedua ini agak terbuka sikapnya terhadap Islam, dan lebih kerap menggunakan bahasa Melayu. Antara dua ekstremis ini, kita dapati golongan ketiga, yang dipanggil golongan tradisional-moralis. Mereka kuat berpegang kepada ajaran agama dan moral tetapi tidak begitu yakin Islam boleh dijadikan asas pengurusan moden. Mereka mempunyai sikap berkecuali dalam banyak perkara. Golongan keempat iaitu golongan intelektual-Islamis. Golongan ini mempunyai pendirian agak tegas mengenai peranan Islam dalam pengurusan. Mereka melihat Islam sebagai satu cara hidup yang lengkap.


Ini menunjukkan ada golongan kecil saja yang mementingkan pelaksanaan konsep pengurusan Islam di negara ini. Majoriti adalah golongan yang tidak mempraktikkan agama dan konsep pengurusan diamalkan sudah tentulah tidak berbentuk pengurusan berkonsepkan Islam. Manusia yang tidak berpegang kepada hukum agama, tidak dipimpin oleh iman, ilmu dan amal akan terjerumus melakukan segala macam perbuatan jahat kerana pada dasarnya manusia berfikiran sempit, berpandangan singkat dan lebih mengutamakan keuntungan dunia yang sementara.

Manusia yang tidak dipimpin oleh iman, ilmu dan amal menurut Ibn Taimiyah, akan dikuasai oleh sifat tamaknya. Prof Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam bukunya, Islam and Secularism (1978) berkata, "Kemunduran dan dilema yang dihadapi umat Islam masa kini berpangkal daripada tiga sebab utama: Pertama, kekacauan dan kekusutan dalam memahami konsep ilmu; dan ini menimbulkan keadaan kedua, iaitu berupa kehilangan adab dalam masyarakat; dan kedua-dua perkara ini melahirkan keadaan ketiga, iaitu timbulnya pemimpin yang tidak layak dari segi ilmunya, yang rendah moralnya, yang kotor rohaninya." Wujudnya beberapa golongan pengurus yang tidak menerima konsep pengurusan Islam adalah disebabkan tiada penghayatan ilmu mengenai pengurusan Islam.

Ramai pengurus yang mengagungkan konsep pengurusan moden dan menolak konsep pengurusan Islami. Mereka adalah golongan yang tidak langsung mahu mempelajari mengenai pengurusan berkonsepkan Islam dan menganggap pengurusan secara Islam adalah kolot dan terkebelakang. Satu strategi yang perlu dilaksanakan ialah pengurus didedahkan dengan kelebihan konsep pengurusan Islam. Sistem pengurusan dan pentadbiran yang baik mempunyai ciri dapat menyelamatkan manusia daripada kekufuran dan kerugian pengurusan sesuai dengan hakikat kejadian insan.

Pengurusan yang baik mengutamakan keredaan Allah; mendidik manusia menjadi beradab; sesuai dengan tuntutan hak asasi manusia; menggunakan kemahiran untuk mengerjakan amal salih; dan membawa manusia kepada kesejahteraan dunia dan akhirat. Selain itu mendedahkan pengurus yang belum mempunyai kesedaran bahawa pengurusan berkonsepkan Islam adalah lebih lengkap berbanding konsep pengurusan moden. Tidak satu pun daripada ciri di atas boleh kita dapati dalam pengurusan moden yang dipelajari dari Barat yang seluruh orientasinya menuju ke arah mendapat keuntungan kebendaan semata-mata, walau dengan apa cara sekalipun. Jelaslah perlu kepada satu model yang dapat memenuhi semua ciri itu jika ingin membina organisasi unggul yang sesuai dengan tugas insan menjadikan setiap perbuatan sebagai ibadah.

Seterusnya pengurus perlu diberi kesedaran supaya memberi keutamaan kepada pembentukan sistem nilai berasaskan tauhid dengan memberi penekanan iman sebagai asas sistem nilai itu. Ilmu pula memberi perspektif yang betul kepada penggunaan akal, dengan itu membina sikap intelektual yang cintakan kebenaran dan amal, penyaluran tenaga hawa nafsu dan syahwat melalui kemahiran dipergunakan untuk mengerjakan amal salih. Perlakuan itu akan melahirkan pekerja cekap; kreatif; jujur, amanah, tekun, rajin, mempunyai harga diri tinggi dan akan menimbulkan pengurusan organisasi berasaskan ketakwaan kepada Allah.

Konsep pengurusan Islam mempunyai persamaan dengan konsep pengurusan moden. Dalam konsep pengurusan Islam manusia dikehendaki mematuhi hukum syarak yang sudah ditetapkan Allah dan ini adalah sama dengan model pengurusan yang diperkenalkan Taylor. Konsep Pengurusan Islam juga menyarankan manusia tidak perlu pengawalan yang rapi. Konsep ini adalah sama dengan konsep mementingkan kesejahteraan pekerja yang sudah diamanahkan untuk melaksanakan tugas masing-masing dan tidak lagi perlu pengawalan serta pengawasan.

Pengurusan moden memberi penekanan kepada nilai bersama. Pekerja diasuh untuk mengamalkan nilai positif ketika menjalankan tugas mereka. Kawalan manusia melalui pengamalan nilai positif adalah tidak mencukupi. Nilai yang diamalkan boleh berubah bergantung kepada keadaan. Manusia boleh hanyut apabila didedahkan dengan kebendaan dan kesenangan dunia.

Pengurusan moden ini tidak mempunyai satu sistem pengawalan untuk mengatasi masalah ini. Pengurusan Islam mempunyai sistem kawalannya. Manusia tidak boleh melanggar hukum Allah yang sudah ditetapkan ketika manusia melaksanakan tugasnya. Manusia dibendung daripada membuat kejahatan dengan adanya hukum 'pahala-dosa'.

Walaupun pengurusan Islam adalah satu bentuk pengurusan yang menyeluruh, ia tidak diterima kebanyakan masyarakat Islam kerana dianggap sebagai mundur dan apa yang dikaitkan dengan Islam juga adalah perkara yang dianggap mundur. Hala cara yang patut dilaksanakan ialah melalui penyebaran ilmu. Tanpa ilmu, pengurus yang mengagungkan pengurusan moden dari Barat, tidak akan nampak keagungan pengurusan Islam. Ilmu pengurusan Islam, termasuk ilmu tauhid perlu didedahkan. Selepas memperoleh ilmu, manusia akan mula beramal dan beriman kepada Allah. Dengan itu, untuk mengatasi permasalahan penerimaan konsep pengurusan Islam, penekanan harus diberikan kepada penyebaran dan penerimaan ilmu.