Selasa, April 01, 2008

SISTEM SYURA MANTAPKAN PENGURUSAN NEGARA

MEMBICARAKAN mengenai Islam, kita perlu memahaminya secara falsafah dengan penuh ketakwaan kepada Allah. Sesebuah masyarakat dalam menyusun sistem hidup dan membudayakan nilai mulia memerlukan sandaran kepada falsafah sistem kepercayaan. Justeru, memahami falsafah sesuatu sistem kepercayaan itu penting. Falsafah menggaris prinsip kawalan bagi sesuatu sistem kepercayaan itu. Ia juga akan membentuk pandangan hidup dan membina corak pendekatan sesuatu sistem. Ia juga akan mempengaruhi pembentukan asas akhlak dan seterusnya melahirkan budaya masyarakat berakhlak yang menyokong semangat falsafah ke arah sesuatu matlamat. Islam adalah agama yang diwahyukan Allah untuk umat sepanjang zaman. Agama Allah ini menepati fitrah kejadian manusia. Al-Quran menegaskan semangat Islam itu dengan firman-Nya bermaksud:
"Maka hadapkanlah wajah mu dengan lurus kepada agama Allah. Tetap atas fitrah Allah yang menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. Itulah agama yang lurus; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui". Di dalam ayat itu, Allah menghendaki supaya setiap penganut Islam supaya menegakkan haluan hidup dengan berpandukan kepada semangat kemanusiaan yang satu yang tidak menerima sebarang perubahan alam dan peredaran zaman. Fitrah manusia adalah sama bagi semua peringkat tamadun yang dicapainya. Sebagai penganut agama fitrah, umat Islam mesti berpegang kepada nilai kemanusiaan yang tetap kekal, walaupun wujud perubahan kepada corak kehidupan dengan berubahnya masa.
Memenuhi tuntutan fitrah dalam apa saja adalah permulaan syarat yang akan membawa kepada kejayaan. Mana-mana sistem kepercayaan yang menganjur kepada pendekatan penyusunan hidup manusia yang bercanggah dengan fitrah atau tabii manusia akan menghadapi kemusnahan kehidupan manusia. Akhirnya kehancuran peradaban ummah. Menerusi Islam kita akan mempunyai satu pendekatan dalam menyusun kehidupan bermasyarakat dan negara menerusi sistem politik. Urusan politik dalam sesebuah negara perlu dikendalikan dengan mantap dan beramanah. Kepemimpinan negara adalah satu tanggungjawab keagamaan besar yang perlu dipikul oleh sesebuah pemerintah. Dengan itu, mengikut Islam usaha untuk membangun sesebuah masyarakat dalam negara memerlukan kepada sebuah sistem politik yang adil dan mampu memilih sebuah pemerintahan berwibawa untuk menerajui sesebuah kerajaan. Tanggungjawab orang Islam ialah memilih pemimpin berakhlak dan berkelayakan. Kepemimpinan negara mengikut Islam mempunyai tanggungjawab keagamaan untuk menghasilkan kestabilan, keharmonian dan kemakmuran yang seterusnya menjana kepada pembangunan negara. Rakyat turut sama mempunyai hak dan tanggungjawab keagamaan atau dari segi moral untuk berperanan menyokong segala tindak tanduk pemerintah yang berfaedah semoga negara mencapai matlamat luhur.
Nabi Muhamad SAW pernah bersabda dalam hadis diriwayatkan oleh Muslim daripada Abu Hurairah ra yang bermaksud: "Kaum Bani Israel, siasah kenegaraan mereka dipimpin Nabi. Setiap kali meninggal seorang Nabi, digantikan oleh Nabi yang kemudian. Sesungguhnya aku tidaklah ada Nabi yang akan mengganti dibelakangku. Yang bakal ada hanya khalifah, yang jumlah mereka adalah banyak". Tugas pemerintah yang dipilih menerusi sistem politik dalam sesebuah negara itu adalah berat dan mencabar. Kemampuan sebuah kerajaan membangun negara ke arah peningkatan mutu hidup rakyat secara syumul dan sepadu memenuhi keperluan rakyat adalah kejayaan yang dipertanggungjawab Islam. Kepemimpinan sesebuah negara perlu memberi perhatian yang utama kepada perkara terpenting dalam menyusun dan membangun negara. Dua daripada perkara itu ialah negara perlu mengurus pengendalian negara bersandarkan semangat syura dan negara perlu memenuhi tuntutan kebajikan rakyat. Adalah sesuatu yang asas dalam pemerintahan Islam urusan pengendalian negara perlu disandarkan kepada semangat syura. Allah berfirman bermaksud, "Bermusyuarahlah dengan mereka dalam urusan-urusan" (Ali `Imran: 159). Dan dalam ayat lain, Allah berfirman bermaksud: "Dan (bagi) orang-orang yang menerima (mematuhi) seruan Tuhannya dan mendirikan solat, sedang urusan mereka (diputuskan) dengan bermusyawarah antara mereka" (Asy-Syuura: 38) Islam menuntut pemerintah berusaha dengan ikhlas dan bijaksana menghasilkan pencapaian kebajikan rakyat dalam negara. Menepati perutusan Nabi kepada umat manusia di mana risalahnya perlu menjana kebajikan kepada masyarakat manusia dan alam sejagat, pemerintah sesebuah negara perlu meneruskan perjuangan Rasulullah. Ia termasuk usaha ke arah pencapaian kehidupan sempurna, meningkat keselesaan hidup, meminimumkan kesusahan, menjana pertumbuhan ekonomi, memupuk budaya penyayang dan bermuafakat, berusaha mengurangkan keruntuhan akhlak, membasmi kemiskinan, menghapus ketakutan dan tekanan jiwa rakyat. Rasulullah dalam memperingati golongan pemimpin masyarakat dan negara bersabda yang bermaksud: "Seseorang pemerintah yang bertanggungjawab terhadap kebajikan orang Muslim, tetapi tidak dengan ikhlas berusaha untuk memenuhi kebajikan mereka tidak akan memasuki syurga". (Sahih Muslim) Saidina Omar Al-Khattab, Khalifah Islam kedua pernah menulis surat kepada seorang Gabenor, Abu Musa, dengan maksud berikut: "Seorang pemerintah yang baik dan di bawah kepemimpinannya, masyarakat berada pada keadaan senang dan makmur dan pemimpin buruk ialah di mana di bawah kepemimpinannya rakyat berada dalam keadaan menderita" (Kitab al-Kharaj) Dari kedua-dua asas penting pemerintahan negara mengikut Islam jelas kepada kita kepemimpinan negara wajib memberi perhatian bersungguh-sungguh kepada sistem pentadbiran dan pengurusan negara yang diasaskan kepada semangat syura dan sekali gus bermatlamat mencapai pembangunan negara dalam semua aspek keperluan rakyat termasuk kerohanian dan kebendaan dalam acuan yang sepadu. Pembangunan negara mengikut Islam dengan itu adalah satu proses usaha untuk menyusun (bersifat proaktif) sesebuah masyarakat atau negara oleh sesebuah pemerintahan ke arah memaju dan meningkatkan mutu hidup rakyat pada peringkat individu dan bermasyarakat. Sifat manusia pada hakikatnya perlu difahami sebelum usaha memaju dan meningkat mutu hidupnya. Pada fitrahnya, manusia mengandungi roh dan jasad. Islam berpandangan bahawa keperluan kepada kedua-dua sifat itu perlu diusahakan dalam bentuk yang sepadu. Kedua-dua sifat terkandung pada diri manusia ini tidak boleh dipisahkan. Kedua-dua kandungan itu perlu dididik dan dibina dengan usaha yang sepadu demi untuk meningkat sahsiah individu semoga mampu menjadi penyumbang berfaedah dan menikmati hasil kejayaan pembangunan.
Dipetik dari Akhbar . Ditulis oleh Nik Mustapha Nik Hasan ( Timbalan Ketua Pengarah, Institut Kemajuan Islam Malaysia (IKIM) )